Thursday, 18 September 2014

Bagaimana mengusai perkataan baru dengan cepat!

Para pembaca yang dirahmati Allah,
Hari ini kita akan membincangkan mengenai suatu teknik yang telah terbukti berkesan untuk menguasai perbendaharaan kata baru dengan cepat dan kukuh.
Di antara cabaran yang dihadapi oleh pelajar bahasa asing ialah dalam  mengingati perkataan baru yang diajar. Bukan sahaja membosankan untuk menghafalnya, malah yang lebih menyusahkan lagi ialah, hafalan tersebut tidak kekal. Baru hafal semalam, hari ini lupa semula. Kalau ingat pun, kita selalu terlepas untuk menggunakannya dalam percakapan kita. Lama-kelamaan, iannya hilang begitu sahaja. 
Di antara puncanya ialah:
1) Pemilihan perbendaharaan kata yang tidak berkesan,
 Sepatutnya guru hanya memilih perkataan yang paling banyak digunakan sahaja (core vocabulary) untuk diajarkan kepada pelajar. Guru sepatutnya membuat kajian perkataan apakah yang paling banyak digunakan dan hanya fokuskan kepada kumpulan perkataan ini sahaja, bukannya melambakkan perkataan yang tidak perlu, bahkan mengelirukan  para pelajar yang terpaksa menghafal perkataan yang mereka sendiri tidak tahu bilakah keadaan yang sesuai untuk menggunakannya.

2) Jumlah perkataan diajar tidak relevan
Selepas memilih dan menapis kumpulan perkataan (core vocabulary), bilangan perkataan yang diajar dalam satu sesi juga perlu dititik berat. Dr, Paul Pimsleur, pengasas kepada 'Pimsleur Approach' menbahagikan 500 perkataan dalam satu 'level' yang mengandungi 30 sesi. Setiap sesi berlangsung selama 30minit. Ini bermakna setiap sesi perlu fokuskan kepada 16-17 'core vocabulary'.

3)Kekerapan pengulangan perkataan
Di antara kesilapan dalam mengajar dan belajar bahasa asing juga ialah, perkataan yang dipelajari tidak diulang dengan kekerapan yang betul. Adakalanya tidak diulang langsung dan terus masuk kepada perkataan baru yang lain. Ini bukan sahaja membuatkan para pelajar tidak dapat menguasai perkataan yang telah dipelajari dengan baik, malah sia-sia dan langsung lupa kerana tidak berjaya mempraktikkan dalam percakapan mereka. Menurut 'Pimsleur;s memory schedule', untuk memahat perkataan baru ke dalam memori pelajar, pengulangan perkataan mestilah berlaku dalam kekerapan berikut: selepas 5 saat, 25 saat, 2 minit, 10 minit, 1 jam, 5 jam, 1 hari, 25 hari, 4 bulan dan 2 tahun. Maka guru2 atau pelajar sendiri hendaklah membuat aktiviti2 yang membolehkan perkataan yang baru dipelajari diulang penggunaannya dalam kekerapan diatas agar ianya kekal terpahat dan tidak hilang lagi.

Kesimpulan:
Dengan menggunakan kaedah yang betul, kita akan dapat mempelajari apa sahaja bahasa asing dengan mudah. Memilih perbendaharaan kata yang tepat akan memudahkan pelajar, menghilangkan  rasa bosan dan menaikkan motivasi pelajar kerana mereka akan dapat menyaksikan kemahiran mereka meningkat dalam masa yang singkat. 
Selamat Mencuba!

No comments:

Post a Comment